Latar Belakang Penulis

Ini kisahku. Kisah HijrahKu yang merupakan HikmahMu


Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera buat semua.
Ahlan wa sahlan dan selamat datang ke blog saya. :)

Penulisan blog. Ianya adalah sesuatu yang baru buat diri saya walaupun telah lama saya menyimpan hasrat untuk menulis. Alhamdulillah, kini, saya amat bersyukur pada Illahi atas ilham, kesihatan jasad, kecerdasan akal dan kelapangan masa untuk mewujudkan blog ini bagi berkongsi ilmu, pengalaman dan info buat mereka-mereka yang berminat tentang Islam secara amnya dan sebagai Panduan buat Saudara-Saudara Baru a.k.a Mualaf secara khasnya.

Tiada apa yang istimewa tentang diri saya selaku penulis blog ini. Namun, di sini saya ingin kongsikan sedikit sebanyak latar belakang saya untuk semua pembaca.

Saya telah dilahirkan di dalam sebuah keluarga berbangsa Cina di bandar Seremban. Dan ya, saya masih seorang Cina dulu, kini dan selamanya. Hehehe. Di sini, saya dibesarkan dan menerima pendidikan awal di Tadika St. Mary. Kemudiannya, bersekolah rendah di salah sebuah sekolah yang terkenal ketika itu iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Seremban, dan seterusnya meneruskan pembelajaran saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent sehingga Tingkatan 2. Pada Tingkatan 3 pula, kami semua (pelajar-pelajar Convent) telah dipindahkan ke Sekolah Menengah Puteri Seremban. Convent telah dirobohkan dan kini telah menjadi tempat takungan air yang besar di tengah-tengah bandar Seremban.

Usai Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan memperolehi 6A dan 1B, saya telah membawa diri saya ke Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban bagi meneruskan Tingkatan 4 dan 5 saya dalam bidang Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Tahun 1997 adalah tahun saya tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang juga merupakan tahun krisis ekonomi. Walaupun keputusan SPM saya cemerlang, nasib tidak menyebelahi saya. Saya telah mendapat tawaran biasiswa daripada Lions' Group yang perlu saya tolak kerana tidak mendapat sebarang tawaran dari IPTA. Permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran ke Jepun menerusi program Dasar Pandang ke Timur yang diadakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut ditolak atas alasan, "Hanya untuk Bumiputera SAHAJA." Akhirnya, saya hanya dapat melanjutkan pelajaran saya ke Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh untuk program Diploma dalam jurusan Mekatronik.

Nak dijadikan cerita, pada hari pendaftaran, hanya saya SEORANG SAHAJA PEREMPUAN dalam jurusan Mekatronik tu, sampai ayah saya bertanya, "Awak pasti ke awak minta kursus yang betul ni?" Saya hanya mampu mendiamkan diri.

Kemudian, dengan segenggam diploma di tangan, saya melangkahkan kaki saya ke Menara Gading iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh, Perak. Setelah berjuang untuk 4.5 tahun, akhirnya saya berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal. Di sini juga saya menemui CAHAYA ISLAM dan suami yang tercinta. Begitulah indahnya aturan Allah swt. Segala-galanya telah disusun indah dan rapi sekali.

Setelah tamat pengajian dia UTP, saya telah mengikut suami saya ke Miri, Sarawak. Sempatlah saya merasa menjadi surirumah sepenuh masa untuk 4 bulan sebelum saya dihantar untuk bekerja di Bintulu, Sarawak. Maka, bermulalah kisah kami sebagai pasangan suami isteri PJJ ataupun lebih dikenali sebagai "Weekend Hubby/Wife" selama setahun lebih. Sempat menjadi seorang "ibu tunggal" dari hari pertama saya mengandung sehinggalah anak saya berumur 4 bulan. Memang mencabar kehidupan ketika itu. Tapi saya yakin, itu semua tarbiyyah daripada Allah swt untuk menjadikan saya seorang yang tabah dan sabar.

Ketika anak sulong saya, Mu'izzuddin berumur 4 bulan, alhamdulillah, saya telah disatukan semula dengan suami saya di Bumi Bintulu, Sarawak. Alhamdulillah, kami dapat bekerja di tempat yang sama. Namun, setiap manusia pasti akan diuji oleh Allah swt. Ketika Mu'izzuddin menginjak ke usia 4 tahun, saya merasakan kebajikan dan hak Mu'izzuddin sedikit terabai dek tuntutan kerja. Dan setelah berbincang dengan suami serta melakukan solah istikhoroh, akhirnya saya berhenti kerja setelah melahirkan anak ke-2 saya, Mufidah pada tahun 2010.

Pada awalnya, risau juga di hati. Risau suami tidak mampu untuk menanggung beban kewangan keluarga yang semakin bertambah. Namun, Allah swt Maha Mengetahui, Maha Pemberi Rezeki. Niat berhenti kerja untuk menjaga keluarga, Allah swt balas dengan rezeki yang melimpah ruah. Suami saya menerima penyelarasan gaji dan untuk dua tahun berturut-turut mendapat pencapaian yang cemerlang dalam kerjaya. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di hati sanubarinya, alhamdulillah.

Saya pula, Allah swt cetuskan ilham untuk belajar membuat cupcakes. Pada asalnya, niat belajar hanya untuk buat untuk makan-makan sendiri, akhirnya menjadi langkah awal untuk saya menceburkan diri dalam dunia bisnes "Homebaking".

Pada tahun 2012, saya dan suami mula merindukan kampung halaman dan keinginan untuk pulang sudah membuak-buak. Anak sulong pula akan melangkah ke Darjah Satu pada tahun berikutnya. Maka, kami telah membuat suatu keputusan untuk membuat penghijrahan yang besar. Bisnes "homebaking" saya terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Dan oleh sebab saya dah terbiasa ada wang saku sendiri, saya mula mencari peluang bisnes yang lain.

Ketika itulah, saya bertemu dengan cinta hati saya yang ke-4 (selepas Allah swt dan RasulNya dan suami saya) iaitu Shaklee. Sedar tak sedar, sudah hampir 2 tahun saya di dalam bisnes Shaklee ini. Suatu bisnes yang ternyata berbeza dengan bisnes-bisnes yang lain. Banyak yang saya belajar sepanjang membuat bisnes Shaklee ini baik dari segi santapan rohani mahupun jasmani.

Sedar tak sedar, banyak juga pengalaman-pengalaman pahit manis dan ilmu-ilmu berharga yang telah terkumpul sepanjang hidup ini dan saya terpanggil untuk kongsikan segala pengalaman dan ilmu saya selaku seorang Mualaf buat panduan semua. InsyaAllah, di dalam blog ini, saya fokuskan tentang Panduan Islam untuk Saudara Baru.


Sudi-sudikanlah diri untuk menziarah saya di sini selalu. :)

Sekian, wassalam.

Penulis: MARDHIYAH LIM

No comments:

Post a Comment

Feel free to add a word or two here.

Topik-topik Popular